KOTA KINABALU: Pelaksanaan Blueprint Pengindahan Landskap Kota Kinabalu yang dilancarkan hari ini akan membawa kepada transformasi landskap bandaraya Kota Kinabalu bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew berkata, pelaksanaan blueprint itu akan menjadikan pusat bandaraya ini lebih menarik, kemas, hijau dan bersih menerusi peningkatan fasiliti, prasarana dan imej bandaraya.
Katanya, Kota Kinabalu adalah pintu masuk utama ke Sabah dengan kehadiran seramai 4.195 juta pelancong direkodkan pada tahun lalu dan sebanyak RM9 bilion dianggarkan dibelanjakan mereka.
“Angka ini menunjukkan pertumbuhan yang membanggakan berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan tadbir urus kerajaan yang cekap meyakinkan kita untuk jangkaan kenaikan yang positif pada tahun ini.
“Tetapi disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia turut memberi kesan kepada ekonomi kita, namun ia tidak menghalang untuk kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal terus membangunkan negeri ini.
“Jadi dengan pelaksanaan blueprint akan menarik minat kemasukan pelancong dan pelabur yang akhirnya akan memberi keuntungan dengan membuka peluang ekonomi yang lebih luas kepada masyarakat bandaraya khasnya dan rakyat sabah amnya, ” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Blueprint Pengindahan Lanskap Kota Kinabalu di Taman Chong Thien Vun, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut berhubung pelaksanaan blueprint itu, Christina berkata projek itu membabitkan kerja mengindahkan bandaraya dengan penanaman pokok-pokok rendang dan berbunga, pemuliharaan kawasan bukit, sungai dan pantai malah akan menaiktaraf kemudahan asas seperti laluan pejalan kaki, pondok rehat, peralatan riadah, ruang berniaga dan sebagainya.
Sehubungan itu, Christina berkata, sebanyak RM3 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri di kawasan Api-Api pada tahun ini untuk membiayai pelbagai perbelanjaan.
“Peruntukkan itu bertujuan untuk kegunaan awam, pembinaan perangkap sampah, pembaikan fasiliti taman permainan di taman-taman perumahan dan pelbagai projek menaiktaraf landskap bandaraya Kota Kinabalu.
“Ini termasuk beberapa projek yang tersenarai dalam blueprint Pengindahan Landskap Bandaraya yang dilancarkan hari ini,” katanya. - Borneo Today