TERKINI: Rangka tindakan Pengindahan Lanskap KK! Klik untuk melihat perancangan kawasan anda!

Konflik tunggakan kenaikan gaji 760 pekerja SFI Berakhir

2 September 2020

SIPITANG: Nasib 12 tahun seramai 760 pekerja Sabah Forest Industries (SFI) yang terjejas oleh masalah kewangan syarikat berakhir dengan penyelesaian di luar mahkamah untuk tuntutan mereka berhubung dakwaan kenaikan gaji tahunan yang tidak dibayar dari tahun 1997 hingga 2006.

Sejak 2007, sekumpulan 1,072 kakitangan mengambil khidmat peguam Christina Liew (kini Datuk dan Adun Api-Api) untuk mewakili mereka dalam memulakan tindakan undang-undang terhadap SFI bagi memohon, antara lain, mendapatkan kenaikan gaji tahu- nan yang tidak dibayar kepada mereka dari 1997 hingga 2006.

Pada 8 Februari, 2008, kakitangan SFI itu mendakwa jumlah terkumpul adalah sekitar RM23 juta daripada Kumpulan Lion. Mereka memfailkan kes melalui peguam itu di Mahkamah Buruh di Sipitang.

(Sebahagian daripada mereka dilaporkan sudah bersara malah ada yang sudah meninggal dunia).

Pada Selasa (1 September) jumlah penyelesaian RM3,454,153.53 sebagai tunggakan dibayar kepada 760 pihak yang menuntut dalam fasa pertama Perjanjian Penyelesaian dan Pelepasan yang ditandatangani antara Lion Posim Berhad (LPB, sebelum ini dikenali sebagai Lion Forest Industries Berhad) dan Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) (Penerima dan Pengurus-dilantik).

Jumlah itu adalah bahagian LPB untuk gaji 4.5 bulan. Perjanjian Penyelesaian dan Pelepasan itu ditandatangani pada Ogos tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Lion, Peter W.K. Lee (mewakili Pengerusi Kumpulan Lion Tan Sri William Cheng) menyampaikan cek replika bagi jumlah RM3,454,153.53 kepada Dr Jim Lai, Pengarah Eksekutif Kanan, Grant Thornton Consulting Sdn Bhd (mewakili Penerima dan Pengurus SFI, Dato’ Narendrakumar A/L Chunilal Rugnath, dari Grant Thornton Consulting Sdn Bhd) yang kemudian menyerahkannya kepada Liew (bekas peguam dari CJ Liew & Co), kini Timbalan Ketua Menteri sementara, merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar di Dewan SFI, di sini.

Menteri Pendidikan dan Inovasi sementara, Datuk Dr Yusof Yacob, yang mewakili Ketua Menteri sementara, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan peguam Josephine Hadikusumo, yang mewakili CJ Liew & Co, menyaksikan majlis penyerahan cek replika itu.

Menurut Hadikusumo, Liew adalah peguam pertama dari CJ Liew & Co, yang menguruskan kes pihak yang menuntut sehingga pelantikan beliau ke jawatan menteri dalam Kerajaan Negeri pimp- inan Warisan pada Mei 2018.

Dalam ucapannya, Liew Berkata penyelesaian pada Selasa itu adalah bukti hasrat murni semua pihak untuk menamatkan konflik yang tercetus 12 tahun lalu, untuk memastikan isu itu tidak berlarutan.

“Langkah itu juga adalah satu pengiktirafan jelas mengenai sumbangan penting semua pekerja kepada ekonomi Sabah,” katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Liew berkata: “Saya gembira kerana konflik itu kini sudah berakhir dan mereka boleh meneruskan kehidupan, selepas lebih satu dekad merasa tertekan, mengalami kerugian dan kepayahan ekonomi.

“Proses rundingan dalam mencapai penyelesaian tuntutan mereka di Mahkamah Buruh telah membuahkan hasil. Akhirnya, kami berjaya dalam menyelesaikan masalah yang berlarutan itu di luar mahkamah.

“Ia satu perjalanan sukar bagi pekerja-pekerja SFI ini dalam menuntut keadilan tetapi akhirnya titik akhir kepada masalah itu sudah kelihatan. Kami telah pergi ke Mahkamah Buruh, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan dan kembali semula ke Mahkamah Buruh.”

Menurut Liew, nasib pekerja-pekerja SFI itu bermula pada 2007 selepas pengeluar palpa dan kertas berpangkalan di India, Ballarpur Industries Ltd (BILT, pengeluar terbesar kertas tulis dan percetakan di India) membeli syarikat itu secara tunai pada harga RM845M daripada Kumpulan Lion yang dibebani hutang. Kerajaan Negeri mengekalkan pegangan 2.22 peratus miliknya.

SFI, yang ditubuhkan oleh pentadbiran Berjaya di bawah kepimpinan Tan Sri Harris Salleh, sebagai syarikat milik penuh Kerajaan Negeri, dibelenggu masalah kewangan susulan dua penswastaan selepas PBS membentuk Kerajaan Negeri.

Liew berkata, pada April 2009, pekerja-pekerja terlibat mengheret SFI ke Mahkamah Buruh di sini untuk menuntut sejumlah RM23,851,935.47. Mereka mendakwa SFI telah melanggar terma dan syarat kontrak pekerjaan mereka.

“Mahkamah Buruh menolak kes mereka (membabitkan 980 pekerja), mengatakan ia tiada bidang kuasa untuk mendengar tuntutan itu.

“Pekerja-pekerja terbabit merayu kepada Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu. Pada Julai 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Mahkamah Buruh mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes terhadap SFI.

“Bagaimanapun, SFI merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan. Pada Mei 2012, Mahkamah Rayuan menolak rayuan SFI dan syarikat itu kemudian memohon semakan kehakiman di Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah Persekutuan menolak permohonan semakan kehakiman itu dan kes itu dikembalikan kepada Mahkamah Buruh untuk prosiding,” katanya.

IKUTI KAMI DI LAMAN SOSIAL

Copyright © 2020 Christina Liew. All Rights Reserved.
linkedin facebook pinterest youtube rss twitter instagram facebook-blank rss-blank linkedin-blank pinterest youtube twitter instagram